Perang Siffin
Termasuk sejarah
versi Syi`ah adalah Perang Siffin merupakan
pemberontakan yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan ke atas Ali bin Abi
Thalib. Sekali lagi hal ini perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi
Sufyan radhiallahu ‘anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali
bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh?
Sebelum menjawab
persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini
kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau
sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang
negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang
kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama
para sahabat yang lain.
Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan
Muawiyah bin Abi
Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut
pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah,
iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina
Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian,
2004), ms. 9-10].
Dalam sebuah hadis
yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah: “Ya Allah! Jadikanlah beliau orang
yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah
al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]
Al-Imam al-Bukhari
meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pasukan pertama daripada kalangan
umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di
syurga).” Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat
Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn
Affan radhiallahu ‘anh.
Di dalam Shahih
Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah
memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an
dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi
baginda.
Muawiyah juga
merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau
diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar
dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu
kepada Ibn Abbas radhiallahu ‘anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir
dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia
seorang yang faqih (faham agama).” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]
Demikianlah beberapa
keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali
bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia.
Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali
Apabila Amirul
Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat
menjadi khalifah. Beliau dibai`ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian
lain yang tidak membai`ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku
bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi
Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas
para pembunuh Usman.
Al-Imam Ibn Hazm
rahimahullah menerangkan hakikat ini:
“Dan tidaklah
Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk
menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan
penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh
Usman radhiallahu ‘anh daripada urusan bai`ah. Dan beliau juga berpendapat
dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.” [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]
Di sisi Amirul
Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh
Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu
menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura
membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah
belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika
umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para
pembunuh Usman.
Berlakunya Perang Siffin
Setelah Perang Jamal berakhir,
Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta
beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi
tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh
Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar
jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula
bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan
pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini
bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah
peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.
Para pengkaji berbeza
pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam?
Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira
faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin
Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk
kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:
“Tidak akan datang
Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara
kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut
adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no:
157]
Muawiyah memberontak kepada Ali?
Kini penelitian kita
sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas
Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu
memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke
arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah
Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah Ali, beliau hanya
berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan.
Syaikh Muhib al-Din
al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:
“Lalu Ali berangkat
meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari
Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan
mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali
telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau.
Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut
keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat
menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama
pasukannya menuju Siffin juga.
Seandainya Ali tidak
mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan
bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim,
ms. 166 & 168 ]
Dalam persoalan ini
terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai
pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab
Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda kepada `Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anh:
“Engkau akan dibunuh
oleh kelompok pemberontak.”
Di dalam Perang Siffin,
`Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam
peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan
beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan `Ammar terbunuh.
Sebenarnya tidak
tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak.
Sebabnya:
1. Sejak awal para
sahabat mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul
Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka
adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai
sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin.
Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka
tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali.
Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan
Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang
meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis
mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf
al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi
(911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]
2. Amirul Mukminin
Ali juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan
tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui
perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang
Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan
melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.
melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.
3. Apabila
terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya,
Hasan bin Ali radhiallahu ‘anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan
menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui
bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin.
Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan
menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya,
menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.
Semua ini membawa
kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai
“kelompok pemberontak”? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah
mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada
asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka
adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin
Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun
pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang
menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan
Usman.
Syaikh Mubih al-Din
al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:
“Sesungguhnya orang
yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya
pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka
adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang
menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka
sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang
mati selepas Usman, di antaranya seperti `Ammar dan orang yang lebih utama
daripada `Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah
dengan terbunuhnya Ali.
Segala sesuatu yang
terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan
apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang”
yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan
perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan
notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 173]
Kebenaran tetap bersama pemimpin
Sekalipun dikatakan
bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak
yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin
dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka
yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau
terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin,
pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi
Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai`ah Ali, sebaliknya terus
membai`ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik
untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.
Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah menegaskan:
“Dan Muawiyah
bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang,
bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak
berlaku perang. Yang benar adalah tidak berlakunya peperangan.
Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam
peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang
benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah.
Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada
yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi
kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan
pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam
fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu
mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]
Allahu a’lam
bisshawab.
Teks Asal :
Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin
Teks Asal :
Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin
Hafiz Firdaus Abdullah
19 September 2005
**25122013**