Perang Jamal
Sekalipun aliran
Syi`ah telah diharamkan di Malaysia, sebahagian daripada ajaran mereka masih
tersebar luas. Di antaranya ialah berkenaan sejarah para sahabat, di mana
banyak buku-buku tempatan yang memuatkan kisah tersebut berdasarkan versi Syi`ah.
Sejarah versi Syi`ah mudah dikenali, ia bersifat pro kepada Ali bin Abi Thalib
serta ahli keluarganya dan bersifat kontra kepada para sahabat yang lain.
Kisah-kisah sejarah versi Syi`ah telah mendapat tempat yang kukuh dalam
pemikiran umat Islam tanah air sejak di bangku sekolah sehingga dianggap ia
adalah fakta yang benar.
Antara sejarah versi
Syi`ah yang masyhur adalah Perang Jamal merupakan
pemberontakan yang diketuai oleh Aisyah ke atas Ali bin Abi Thalib. Kenyataan
ini memerlukan penelitian semula: Benarkah Perang Jamal adalah
satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah?
Perang Jamal bermula apabila Aisyah, Thalhah dan
al-Zubair radhiallahu ‘anhum serta orang-orang yang bersama mereka pergi ke
Basrah selepas pengangkatan Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menjadi
khalifah umat Islam. Semua ini berlaku selepas pembunuhan Amirul Mukminin Usman
bin Affan radhiallahu ‘anh. Melihatkan pemergian Aisyah dan pasukannya, Amirul
Mukminin Ali turut pergi ke Basrah bersama pasukannya. Apabila menghampiri
Basrah, kedua-dua pasukan ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu
peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ia dinamakan
sedemikian kerana Aisyah berada di atas unta (Jamal) ketika peperangan
tersebut.
Dalam peristiwa ini,
timbul dua persoalan. Yang pertama, kenapakah Aisyah dan pasukannya bergerak ke
Basrah? Al-Qadhi Ibn al-Arabi rahimahullah (543H) menerangkan bahawa orang
ramai mengemukakan beberapa pendapat. Ada yang berkata mereka keluar kerana
ingin melucutkan Ali daripada jawatan khalifah. Ada yang berkata mereka benci
kepada Ali. Ada yang berkata mereka ingin mencari para pembunuh Usman. Ada yang
berkata mereka keluar untuk menyatu-padukan semula umat Islam. Di antara semua
pendapat ini, yang benar adalah yang terakhir. Al-Qadhi Ibn al-Arabi
menegaskan:
“Mungkin mereka
keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka
kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan
mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.”
[al-`Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi
(diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]
Sebelum itu hal yang
sama ditegaskan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H):
“Dan adapun
(pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu ‘anhum
berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit
jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan
tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau
daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang
lain dan mereka tidak memperbaharui bai`ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah
sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.
Kebenaran yang
sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak
pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai`ah
daripadanya .... yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup
(daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa
pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu ‘anh.”
[al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams
al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]
Berdasarkan
penerangan di atas, jelas kepada kita bahawa dalam pemergiannya ke Basrah,
Aisyah radhiallahu ‘anha tidak memiliki tujuan berperang atau memberontak terhadap
Ali radhiallahu ‘anh. Ini membawa kita ke persoalan kedua, jika demikian
kenapakah kedua-dua pasukan ini bertembung dan berperang?
Kenapakah berlakunya Perang Jamal?
Al-Imam Ibn Hazm
melanjutkan, pasukan Ali turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan Aisyah
tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan umat Islam
dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Usman. [al-Fishal, jld. 3, ms. 83]
Akan tetapi pada
waktu yang sama wujud juga orang-orang yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan
Usman. Mereka menyamar diri dengan berselindung di kalangan umat Islam. Apabila
melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, mereka menyalakan api fitnah
kononnya pemergian tersebut adalah kerana perpecahan daripada kekhalifahan Ali.
Namun apabila para pembunuh Usman mendapat tahu bahawa pasukan Aisyah dan Ali
telah bersatu, mereka menjadi bimbang lagi cemas. Ini kerana selagi mana umat
Islam berpecah, selagi itulah para pembunuh Usman terselamat daripada apa-apa
tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, pasti kesatuan tersebut akan
memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Usman.
Maka para pembunuh
Usman merancang untuk melagakan kedua-dua pasukan tersebut. Pada awal pagi
ketika hari masih gelap, mereka menyerang pasukan Aisyah. Dalam suasana
terperanjat daripada tidur yang lena, pasukan Aisyah menyangka bahawa pasukan
Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Sebagai tindakan mempertahankan
diri sendiri (self defense), mereka menyerang balas ke atas pasukan Ali.
Pasukan Ali pula menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang
mereka. Dengan itu mereka menyerang balas, juga sebagai tindakan mempertahankan
diri sendiri. Tanpa disangka-sangka, bermulalah Perang Jamal sekali
pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak memiliki apa-apa tujuan berperang.
Al-Hafiz Ibn Katsir
rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik yang mengakibatkan
bermulanya Perang Jamal:
“Orang-orang pun
merasa tenang lagi lega .... pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam
keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Usman melalui malam
tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat
untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum
terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok
bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan
pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka.
Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka
berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka
mengkhianati kita!”
Mereka (pasukan
Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana
huru-hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang
terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah)
menyerang kita!”
Maka kedua-dua pihak
mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki
kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya
terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad `Abd al-Wahhab; Dar
al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]
Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu
perenggan:
“Mereka (para
pembunuh Usman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan
al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang
kembali untuk mempertahankan diri (self defense). Seterusnya Ali pula menyangka
bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali
untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi
pilihan mereka (kedua-dua pihak).
Manakala Aisyah
radhiallahu ‘anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang
dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak
seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi
al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa
al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986),
jld. 4, ms. 317]
Demikianlah
penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berkenaan Perang Jamal.
Kembali kepada persoalan asal pada permulaan artikel ini: Benarkah Perang Jamal adalah
satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah? Penjelasan
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjadi jawapan kepada persoalan asas ini, sekali
gus sebagai penutup kepada artikel ini:
“Sesungguhnya Aisyah
tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi
hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat
kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa
meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila
sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga
membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]
Allahu a’lam
bisshawab.
Teks Asal :
Pendirian Aisyah Dan Para Sahabat Di Sebalik Perang Jamal
Hafiz Firdaus Abdullah
Hafiz Firdaus Abdullah
19 September 2005
**25122013**