Kisah Syeikh
Abdul Qadir Al-Jilani
|
Keluasan ilmu agama dan perhatian yang mendalam
terhadap sunnah Rasulullah SAW, dengan izin Allah, telah membuka
rahsia alam malakut kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani rhm.
Beliau sampai ke martabat di mana perbezaan antara
hak dan batil, ilham Ilahi dengan bisikan syaitan, telah menjadi perkara yang
sejati dengan jiwanya. Beliau telah memperolehi ilmu yakin bahawa syariat
Nabi yang terakhir adalah sempurna dan tidak boleh diubah,dan bahawa apa jua
dakwaan yang berlawanan dengan hakikat tersebut adalah bisikan syaitan
semata-mata.
Syeikh Abdul Qadir rhm. sendiri menyebutkan satu
peristiwa yang berlaku pada dirinya. Beliau berkata: “Pada suatu ketika, saya
nampak suatu cahaya terang benderang yang memenuhi seluruh langit. Kemudian
suatu bentuk manusia kelihatan di dalamnya dan dia berkata: “Wahai Abdul
Qadir! Akulah Allah, Tuhanmu. Aku telah menghalalkan segala perkara yang
haram bagimu.” Saya menjawab: “Berambuslah wahai syaitan!” Sebaik sahaja saya
mengucapkan kata-kata tersebut, cahaya di langit tadi bertukar menjadi gelap
dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap.
Kemudian saya dengar seseorang berkata: “Wahai Abdul
Qadir! Aku telah menyesatkan tujuh puluh ahli sufi dengan cara ini, tetapi
Allah menyelamatkan kamu disebabkan ilmu dan takwamu.” Mendengar kata-kata
itu saya membalas: “Tidak. Itu cuma rahmat Allah SWT.”
Sesudah Syeikh Abdul Qadir rhm. menceritakan
peristiwa tersebut, seseorang bertanya: “Bagaimana kamu tahu bahawa itu
adalah syaitan?” Beliau menjawab: “Ketika dia berkata bahawa dia telah
menghalalkan bagi saya perkara yang haram.”
Beliau selalu memberitahu murid-muridnya bahawa apa
jua amalan yang bercanggah dengan suruhan Allah, maka sudah tentu ia daripada
syaitan.
Dalam hal demikian, hendaklah seseorang kembali
kepada ajaran syariat, mengukuhkan iman dan melawan kecenderungan nafsu
dengan bersungguh-sungguh. Apa jua yang tidak dibenarkan oleh syariat sudah
tentu menyesatkan.
|
Rujukan :
Syarah Al-Hikam Jilid 2 Terbitan Telaga Biru ms 723.
|
01/01/2014
|